fbpx

Ada syarat Eriksen kembali ke Inter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ERIKSEN terpaksa menggunakan alat ICD yang berfungsi mengawal ritma jantungnya tidak berdegup secara normal. – AFP

MILAN – Persatuan Bola Sepak Itali (FIGC) mengesahkan bahawa pemain Inter Milan, Christian Eriksen tidak akan dibenarkan beraksi dalam saingan Serie A musim depan sekiranya menggunakan implantable cardioverter defibrillator (ICD).

Pemain berusia 29 tahun itu rebah di padang ketika beraksi bersama Denmark pada sai­ngan Euro 2020 ketika menentang Finland selepas jantung­nya berhenti berdegup ketika perlawanan tersebut.

Bagaimanapun, dia berjaya diselamatkan dan perlu menggunakan alat ICD berkenaan sebagai langkah untuk mengatasi masalah degupan jantung yang tidak normal.

Melalui peraturan FIGC mana-mana pemain sama ada profesional ataupun amatur tidak akan dibenarkan beraksi sekiranya mereka disahkan mempunyai masalah berkaitan jantung.

Ahli jawatankuasa saintifik teknikal FIGC, Francesco Branconaro mengesahkan bahawa Eriksen perlu menanggalkan alat berkenaan terlebih dahulu sebelum dibenarkan kembali beraksi bersama Inter.

“Christian Erisken tidak akan dibenarkan bermain dalam keadaan seperti itu.

“Jika alat ICD berkenaan dibuka, kemudiannya pihak patologi mengesahkan bahawa dia bebas daripada masalah jantung, Eriksen akan dibenarkan kembali beraksi bersama Inter,” katanya.

Pakar kardiologi, Dr. Scott Murray mendakwa bahawa masalah yang dihadapi oleh Eriksen itu boleh dianggap sebagai pengakhiran dalam kariernya kerana Itali mempunyai peraturan ketat me­ngenai mereka yang mengalami masalah jantung dalam meneruskan karier sukan mereka.

“Ia adalah undang-undang di Itali, mereka yang dikenalpasti mengalami masalah jantung tidak akan dibenarkan beraksi lagi dalam sukan mereka,” jelasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI