KUANTAN – Pesakit Covid-19 berusia 40 tahun ke atas merekodkan jumlah tertinggi yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di dua buah hospital di Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman berkata, sehingga kelmarin sebanyak 73 peratus iaitu 27 pesakit Covid-19 berusia 40 tahun ke atas ditempatkan di ICU.
“Pada masa ini terdapat 42 katil ICU yang mana Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan mempunyai 30 katil ICU, manakala Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh mempunyai 12 katil ICU.
“Sehingga kini seramai 37 orang pesakit Covid-19 dirawat di ICU iaitu bersamaan 88 peratus penggunaan katil dengan 26 pesakit memerlukan bantuan pernafasan,” katanya di sini semalam.
Berita berkaitan: Warga emas belum divaksin ramai maut
Menurutnya, sebanyak 746 katil untuk pesakit Covid-19 disediakan di lapan buah hospital di negeri ini dengan kadar penggunaan katil setakat ini sebanyak 70 peratus.
Beliau berkata, sehingga kelmarin, seramai 2,377 pesakit Covid-19 dirawat di lapan buah hospital dan tujuh buah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Berisiko Rendah.
“Terdapat lapan buah hospital merawat pesakit Covid-19 iaitu HTAA, Hoshas, Hospital Lipis, Hospital Bentong, Hospital Raub, Hospital Jengka, Hospital Muadzam Shah dan Hospital Cameron Highlands.
“Seramai 523 orang pesakit berada di hospital, manakala 1,982 orang pesakit ditempatkan di PKRC,” ujarnya.