PETALING JAYA – Sebanyak 14 buah kawasan di Pasir Puteh, Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 27 Julai sehingga 9 Ogos depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan terbabit membabitkan enam lokasi di Mukim Bukit Jawa dan lapan di Mukim Bukit Abal.
“Mukim Bukit Jawa melibatkan Pekan Selising, Kampung Selising, Kampung Tok Dir, Kampung Pak Omar Kampung Bukit Bidang dan Kampung Bukit Merbau.
“Mukim Bukit Abal membabitkan Kampung Berangan, Kampung Banggol Pak Esah, Kampung Alor Geliong, Kampung Banggol Jenereh, Kampung Kubang Sawa, Kampung Lubuk Kedondong, Kampung Chat dan Kampung Banggol Dollah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ismail Sabri berkata, sebanyak empat kampung dalam Mukim Ulu Selama, Larut Matang dan Selama, Perak iaitu Kampung Sungai Seputeh, Kampung Teluk Mas, Kampung Garok dan Kampung Tapah juga dikenakan PKPD bagi tempoh sama.
Menurut beliau, turut dikenakan PKPD dari 27 Julai sehingga 9 Ogos 2021 adalah Kampung Teluk Menara, Mukim Manir, Kuala Terengganu di Terengganu dan Kampung Bukit Malut, Pulau Langkawi di Kedah.
Tambah beliau, lapan kawasan di Sabah iaitu Kampung Mananam, Tongod; Taman Semarak Megah, Tawau; Kampung Sangkabok, Menumbok; Ladang Belian, Kalabakan; Kampung Batandok dan Kampung Menanjung di Beaufort; Kampung Pelakat dan Kampung Pelakat Paya di Sipitang serta Kampung Sumaang, Ranau juga dikenakan PKPD sepanjang tempoh tersebut. – K! ONLINE