SHAH ALAM – Kira-kira 1,000 ahli daripada tiga persatuan berkaitan jentera pembinaan merayu diberikan bantuan dalam penstrukturan semula pembayaran balik sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
Mereka adalah Persatuan Pemilik Mesin Derek Bergerak Malaysia (1987), Persatuan Kontraktor Jentera Mekanikal dan Elektrikal Melayu Malaysia (Baru) dan Persatuan Ampunya Jentera Pembinaan Berat Malaysia.
Presiden Persatuan Pemilik Mesin Derek Bergerak Malaysia (1987), Alec Chong berkata, pandemik Covid-19 telah memberi impak yang besar terhadap ekonomi dunia dengan Malaysia turut mengalami penyusutan khususnya di dalam bidang pembinaan.
“Walaupun dengan pembukaan semula sektor pembinaan, ekonomi negara masih perlahan. Harga bahan binaan naik mendadak ditambah pula dengan kekurangan pekerja dan pelbagai sekatan yang lain, ramai pemaju mengambil tindakan untuk mengurangkan penglibatan dalam projek-projek baharu.
“Masalah bertambah, akibat kesukaran pihaknya untuk mendapatkan bayaran dari pelanggan ataupun pihak yang berhutang menyebabkan berlaku tekanan yang tinggi dalam mengimbangi aliran tunai perniagaan,”katanya dalam kenyataan bersama persatuan-persatuan itu hari ini.
Alec turut menjelaskan ada di antara ahli persatuan terpaksa mengambil tindakan menjual aset-aset supaya mampu bertahan dan lebih malang lagi ada juga ahli persatuan yang kini di ambang muflis.
“Akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa negeri juga, sektor pembinaan terpaksa ditutup dan sekaligus menjejaskan jumlah pendapatan ahli persatuan. Mereka juga harus menanggung gaji pekerja, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan sewa premis,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Baru, Datuk Seri Mohd. Effandie Ahmad menegaskan tanpa bantuan penstrukturan semula pinjaman dan pemberian moratorium selama enam ke 12 bulan ke atas, aliran tunai ramai ahli persatuan akan terkesan lebih teruk lagi.
“Pihak kerajaan diharap dapat memainkan peranan bagi mengelakkan penutupan syarikat dalam kalangan ahli-ahli kami dan semua pekerja juga dapat kekal bekerja seperti biasa selepas pandemik Covid-19 reda,” katanya.
Bagi Presiden Persatuan Ampunya Jentera Pembinaan Berat Malaysia, Liew Yu Chan, berkata, ahli-ahlinya telah dicaj dengan kadar faedah yang sangat tinggi dan tidak munasabah walaupun telah bertemu dengan syarikat pinjaman dan kredit.
“Sebanyak 10 hingga 20 peratus syarikat ahli kami gulung tikar dan berharap syarikat pinjaman serta kredit bukan sekadar memberi moratorium ke atas bayaran balik pinjaman tetapi juga menyemak semula kadar faedah yang dikenakan,” katanya.
Untuk rekod, Persatuan Pemilik Mesin Derek Bergerak Malaysia (1987) pada 9 haribulan Julai telah menghantar surat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk meminta bantuan tetapi sehingga kini tiada sebarang jawapan diterima. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929