IMPIAN perenang negara, Welson Sim Wee Sheng untuk mencatat masa terbaik dan memperbaiki rekod kebangsaan pada penampilan keduanya di temasya Sukan Olimpik gagal direalisasikan apabila gagal melayakan diri.
Dalam saringan 400 meter gaya bebas lelaki di Pusat Akuatik Tokyo itu, atlet berusia 24 tahun itu sekadar mengakhiri saingan di kedudukan ke-33 daripada 36 perenang yang bertanding dengan catatan 3 minit 58.25 saat.
Lebih mengecewakan, perenang dari Sarawak tersebut tidak berupaya mengatasi rekod peribadi iaitu 3:49.29s yang dilakukan di Kejohanan terbuka NSW Sydney, Australia 2019 dan juga gagal menyamai rekod terbaiknya sewaktu di Olimpik Rio (2016) 3:51.57s.
Bagaimanapun, Welson masih mempunyai satu lagi acara iaitu 200m gaya bebas dan akan turun beraksi esok.
Pada saingan di Tokyo itu, hanya lapan perenang teratas layak ke final dan perenang Jerman, Henning Bennet Muhlleitner merekod masa terpantas 3 minit 43.67s. – K! ONLINE