PETALING JAYA – Pengarah drama terkenal, Shahrulezad Mohameddin berbangga apabila drama arahannya, Nur berjaya memikat hati penonton di Indonesia yang menonton naskhah tersebut menerusi saluran Netflix.
Shahrulezad atau lebih mesra disapa Ijat ketika dihubungi Kosmo! berkata, sambutan drama Melayu di negara seberang menunjukkan kualiti drama tempatan tidaklah begitu buruk seperti yang dianggap ramai pihak.
“Sebagai pengarah sudah tentu saya berasa bangga apabila drama Nur arahan saya mendapat perhatian dalam kalangan penonton dari Indonesia. Sejujurnya saya sudah tidak ambil peduli lagi selepas tayangan drama tersebut ditarik semula waktu tayangannya di sana sekitar bulan April lalu.
“Tapi bila ada penonton dari Indonesia menyukai dan memuji drama tersebut, ini menunjukkan bahawa kualiti drama tempatan tidaklah seteruk mana,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Ujar Ijat, dia sedar ada segelintir penonton sering memperkecilkan karya tempatan ekoran kerap menampilkan drama dengan jalan cerita klise setiap masa.
Bagaimanapun, kejayaan drama Nur memikat selera penonton dari Indonesia wajar dikongsi bersama semua warga industri.
“Sebenarnya banyak lagi drama lain yang lebih bagus daripada Nur, cuma sayang tidak dipandang.
“Kejayaan ini patut dikongsi semua warga industri sebenarnya. Hendak menembusi pasaran seberang sendiri sebenarnya susah sebab penonton di sana sangat septikal dengan produk luar,” ujar Ijat.
Katanya, masyarakat di Indonesia lebih mengagung-agungkan karya anak tempatan berbanding naskhah luar termasuk Malaysia walaupun terdiri daripada rumpun yang sama.
“Resmi orang sana, mereka bangga dengan produk sendiri. Tapi ada juga segelintir daripadanya yang ‘geli’ dengan sinetron mereka kerana menampilkan jalan cerita ‘aneh’ dan khayalan. Sama seperti penonton Malaysia yang ‘benci’ dengan drama pukul 7 petang.
“Bagaimanapun masih ada penonton di Indonesia bersikap terbuka sebenarnya. Kalau tidak, bagaimana Siti Nurhaliza boleh diterima dengan baik di sana. Jadi bila terpandang produk luar (Malaysia), mereka jadi tertarik kerana lain daripada yang lain,” jelasnya.
Terdahulu, drama Nur yang pernah mencipta fenomena di negara ini pada 2018 hanya disiarkan satu episod di stesen televisyen Indonesia, MNCTV pada April lalu sebelum stesen tersebut menggantikannya dengan sinetron lain.
Difahamkan drama terbitan Radius One tersebut tidak mencapai jumlah tontonan atau rating yang bagus di Indonesia. -K! ONLINE