PETALING JAYA – Ketumpulan jentera penyudah menyaksikan pasukan Selangor FC terpaksa akur apabila diikat Kuala Lumpur City (KL City) 1-1 pada aksi Liga Super sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium Kuala Lumpur, Cheras itu, skuad Gergasi Merah yang dikendalikan oleh Karsten Neitzel membariskan kesebelasan terbaik dengan menurunkan pemain-pemain utama seperti Ifedayo Olusegun dan Oliver Buff.
Namun, pasukan tuan rumah yang dibimbing oleh Bojan Hodak terlebih dahulu menguji gawang gol skuad Selangor FC tetapi percubaan Giancarlo Gallifuoco tidak berjaya menerjah jaring.
Skuad The City Boys akhirnya berjaya menjaringkan gol pembukaan hasil rembatan percuma menarik yang dilakukan oleh kapten, Paulo Jouse pada minit ke-40.
Tersentak dengan itu, Selangor memperkemaskan jentera serangan dan hanya memerlukan tiga minit untuk menyamakan kedudukan hasil rembatan Buff pada minit ke-43.
Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dalam usaha memburu gol kemenangan tetapi gagal berbuat demikian.
Peluang terbaik skuad Gergasi Merah hadir pada minit ke-90 namun Olusegun gagal menyudahkan peluang keemasan selepas Danial Asri melakukan hantaran cantik sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berkongsi dengan satu mata apabila keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan itu menyaksikan Selangor di tangga keenam liga selepas meraih 20 mata manakala KL City di kedudukan ketujuh dengan 18 mata selepas mengharungi 14 perlawanan.
Dalam perkembangan sama, di Stadium MBPJ, Petaling Jaya City (PJ City) meraih gol pada minit-minit akhir menerusi Sunil Chandran untuk memastikan The Phoenix meraih kemenangan 1-0 ke atas Sabah FC. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929