PETALING JAYA – Langkah kanan buat beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada aksi peringkat Kumpulan D Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila menang ke atas wakil Korea Selatan, Choi Solgyu-Seo Seungjae sebentar tadi.
Pada perlawanan yang berlangsung di Musashino Forest Sport Plaza itu, Aaron-Wooi Yik memastikan permulaan terbaik pada penampilan sulung mereka di Olimpik apabila menang 24-22, 21-15.
Beregu yang berada pada ranking kesembilan dunia itu menampilkan aksi lebih berbeza berbanding sebelum ini meskipun diberikan tentangan sengit Solgyu-Seungjae.
Justeru, kemenangan itu sekali gus meletakkan Aaron-Wooi Yik berada pada landasan tepat untuk melayakkan diri ke pentas suku akhir.
Sekiranya berjaya melakar kemenangan ke atas beregu No.2 dunia dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan pada perlawanan esok, maka slot suku akhir sudah terjamin buat gandingan negara. – K! ONLINE