SEBERANG PERAI – Polis sedang memburu sekumpulan lelaki yang didakwa menyerang seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun dengan menggunakan senjata tajam, di Bukit Mertajam di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 9.15 malam di Taman Alma, Machang Bubok di sini.
“Siasatan awal mendapati, mangsa yang juga seorang lelaki warga tempatan telah diserang oleh empat lelaki tersebut dengan menggunakan senjata tajam di hadapan rumahnya di kawasan perumahan berkenaan.
“Akibat serangan itu, mangsa mengalami cedera parah dan telah dikejarkan ke Hospital Bukit Mertajam. Keadaannya ketika ini bagaimanapun dilaporkan stabil,” katanya di sini hari ini.
Jelas Shafee, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan mana-mana saksi yang melihat kejadian itu diminta supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Sobirin di talian 018-2926844 bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, mangsa yang cedera parah itu dipercayai Pengarah Eksekutif Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB), Datuk M. Ramachandran.
Difahamkan, susulan kejadian itu juga, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian leher, peha, belakang kepala serta badan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy yang mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa bagaimanapun kini berada dalam keadaan stabil. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929