PETALING JAYA – Meskipun terpaksa mengenakan peralatan perlindungan diri (PPE), namun ia sedikit pun tidak mematahkan semangat seorang wanita untuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Menerusi perkongsian di laman Facebook, wanita yang dikenali sebagai Cik Ramlah Jais berkata, tindakan itu diambil selepas ramai jirannya terkesan dengan keadaan pandemik ketika ini.
Menurut Cik Ramlah, ramai jiran-jirannya yang terpaksa menjalani kuarantin di rumah kerana ada ahli keluarga mereka dijangkiti Covid-19.
“Kuarantin di rumah bermakna mereka tidak boleh keluar bekerja dan mereka hilang pendapatan. Maknanya mereka ketika ini berhadapan dengan ujian maha berat, baik dari segi mental mahupun fizikal.
“Sebagai jiran, cubit peha kiri peha kanan tetap terasa pedihnya, apatah lagi, ada di antara mereka juga pernah membantu ketika saya susah dahulu,” katanya di laman Facebook hari ini.
Cik Ramlah yang juga pengasas Gerobok Rezeki Cik Melah berkata, meskipun aktif membantu jirannya, namun pada masa sama dia perlu patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).
“Dengan memakai pakaian PPE, sarung tangan dan muka, saya menyantuni mereka dari rumah ke rumah untuk memberikan sumbangan makanan asas seperti beras, tepung, gula, sardin, susu bayi, pampers, tuala wanita dan lain-lain.
“Pun begitu, saya hanya mampu meletakkannya di pintu rumah sahaja. Alhamdulillah, tak kurang daripada 30 buah keluarga yang dalam kuarantin berjaya saya bantu,” ujarnya.
Sementara itu, rata-rata pengguna laman Facebook memuji cara wanita terbabit mengagihkan bantuan kepada orang ramai kerana ia lebih selamat daripada berkumpul di suatu tempat ataupun secara bersemuka. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929