fbpx

Olimpik, satu harapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Skuad B-20 Malaysia. - Foto FAM
WARTAWAN EKSEKUTIF, MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI

SUDAH hampir 50 tahun skuad bola sepak negara yang terkenal dengan jolokan Harimau Malaya tidak beraksi dalam temasya sukan terbesar dunia iaitu Sukan Olimpik.

Berbekalkan sejarah ‘lampau’, skuad kebangsaan masih lagi terbuai dengan rekod kejayaan melayakkan diri ke pentas Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman dan edisi 1980 di Moscow, Rusia.

Bagaimanapun, kontinjen negara tidak menjejakkan ke bumi Moscow susulan keputusan untuk memboikot temasya yang diadakan empat tahun sekali atas dasar kerajaan.

Ketika edisi 1972 di Munich, Malaysia menduduki tempat ke-10 dalam kalangan 16 negara yang mengambil bahagian, selepas tewas 3-0 kepada Jerman Barat dan 6-0 kepada Maghribi, namun berjaya menewaskan Amerika Syarikat (AS) 3-0 untuk menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan A.

Ia adalah pencapaian yang cukup membanggakan untuk skuad negara yang ketika itu diwakili oleh legenda seperti Datuk Soh Chin Aun, Shaharuddin Abdullah dan Allahyarham Namat Abdullah.

Kini, impian untuk melayakkan diri ke pentas Sukan Olimpik kembali membara berdasarkan program jangka panjang yang dirancang oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memburu slot edisi 2024 di Paris, Perancis.

Kejohanan bola sepak untuk saingan Sukan Olimpik sudah berbeza berbanding sebelum ini apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menetapkan hanya pemain berusia bawah 23 tahun (B-23) sahaja dibenarkan beraksi dengan 3 pemain senior.

Bagaimanapun, prestij kejohanan itu tetap ada kerana ha­diah yang ditawarkan adalah pingat emas yang sering dianggap sebagai ‘ibu pingat’ pada mana-mana temasya memandangkan bola sepak adalah sukan No. 1 di dunia.

Berbalik kepada program ke Sukan Olimpik 2024 yang dirancang oleh FAM, baru-baru ini badan induk bola sepak negara itu telah membuat keputusan untuk menghantar skuad bawah 20 (B-20) untuk ke kelayakan Piala Asia B-23 202 di Mongolia, Oktober depan.

Tindakan tersebut ternyata mengejutkan ramai pihak memandangkan peluang skuad muda Harimau Malaya untuk la­yak ke kejohanan Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan tahun depan sangat cerah.

Ini kerana Malaysia telah diundi dalam Kumpulan J bersama-sama Thailand, Laos dan Mongolia.

Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee berkata, barisan pemain yang perlu dipersiapkan ke arah Sukan Olimpik 2024 adalah daripada skuad B-20 kebangsaan ketika ini iaitu para pemain yang berusia 20 tahun dan ke bawah pada tahun ini.

“Kelompok pemain B-20 ini akan kita sediakan lebih awal bermula tahun ini bagi menghadapi dua kitaran pusingan kela­yakan iaitu Kelayakan Piala Asia B-23 2022 pada Oktober ini dan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 pada tahun 2023

“Selain itu, ada dua edisi Sukan SEA iaitu di Vietnam pada 2022 dan di Kemboja pada 2023.

“Jadi kelompok pemain ini akan diberikan lebih banyak pendedahan dan persiapan jangka panjang yang lebih awal bagi kempen kelayakan ke Sukan O­limpik 2024,” kata Kim Swee.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail turut berpendapat bahawa langkah drastik yang dilakukan oleh FAM itu boleh memberi sinar baharu dalam arena bola sepak negara.

“Mungkin keputusan itu akan dipandang sinis oleh pengkritik, namun pandangan saya ia adalah keputusan yang tepat.

“Ia normal kerana untuk sukan lain pun, kita sudah mempersiapkan atlet,” katanya.

Antara alternatif lain yang dilakukan oleh FAM dan MSN ialah menubuhkan skuad projek khas B-19 yang bersaing di pentas Liga Premier di bawah kendalian Yusri Che Lah bermula musim ini.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI