fbpx

Neelofa pun terkait, berdamailah untuk sinar di Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Isu penghantaran bantuan ke Gaza semakin panas. Ketiga-tiga pihak terlibat iaitu Ustaz Ebit Lew, Caprice dan Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman sudah memberi hujah masing-masing.

Kini terserah kepada kita untuk menilai. Isu hangat seperti ini memerlukan kita berfikir secara rasional sebelum menyatakan sokongan mengikut fakta dan bukannya emosi.

Biar kita tersalah hitung jangan pula tersalah hukum kelak nanti menyesal. Kebaikan yang tiada penjelasan akan menyebabkan fitnah berterusan. Ini adalah hakikat.

Salah satu syarat untuk berdakwah ialah bijaksana. Kebijaksanaan jugalah yang membuatkan dakwah Wali Songo di Indonesia berjaya.

Bantuan kemanusiaan yang pada awalnya mencerminkan kebaikan kini sudah menjadi kes polis selepas Ebit membuat laporan mengenai fitnah yang didakwa dilemparkan ke atas dirinya.

Sedang asyik kita menelaah pelbagai alasan, tiba-tiba nama Neelofa pula terkait. Isu melibatkan tiga pihak kini sudah menjadi empat penjuru.

Macam nak bertanding merebut jawatan Yang Berhormat pula.

Ketika kita sibuk bertelagah menyalahkan orang dan membenarkan pihak yang satu lagi, kita sebenarnya terlupa mangsa sebenar keadaan ini ialah rakyat Palestin itu sendiri.

Pernahkan kita terfikir mengapa Palestin tidak pernah sunyi dengan bunyi tembakan dan hentaman bom sedangkan semua tahu di situ merupakan tanah yang diberkati ekoran terdapat banyaknya tempat suci.

Pertelagahan sesama saudara Islam hanya mengundang bala dan jenaka di mata orang. Kita sepatutnya fokus kepada masalah pokok dan bukannya cabang.

Kawasan bergolak sudah tentu mempunyai kawalan yang ketat dan mempunyai pelbagai cabaran yang menunggu hingga tidak terfikir dek akal.

Harus kita ingat, sesetengah pihak hanya ingin mengambil kesempatan di atas kesengsaraan orang lain.

Setiap perkara itu pasti ada hikmahnya. Kini kita sedar isu misi bantuan kemanusiaan di kawasan bergolak bukanlah mudah seperti mengagihkan bakul makanan di rumah-rumah rakyat Malaysia yang mengibarkan bendera putih.

Usaha itu menuntut keikhlasan, mujahadah serta kesabaran kerana manusia akan sentiasa diuji untuk membenarkan keimanannya.

Kembali merapatkan persaudaraan adalah lebih penting ketika ini daripada menuding jari kepada sesiapa. Apa yang penting, kejujuran melaksanakan amanah adalah kunci utama bagi mendepani ujian sedemikian.

Penulis berharap isu ini segera menemui titik noktahnya kerana apa yang kita mahu lihat ialah pembebasan rakyat Palestin daripada cengkaman Israel.

Kita semua sudah penat dan sentiasa hidup dalam kerisauan ketika ini. Cukup-cukuplah. Sama-sama kita berusaha menurunkan jangkitan Covid-19 yang sudah pun mencecah angka 15,573 semalam. Ia amat meresahkan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI