fbpx

Lompat pagar, badan melecur rumah kedai terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NGGOTA bomba ketika memadamkan kebakaran di kediaman rumah kedai dua tingkat di Jalan Penang, George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga Bangladesh terpaksa berlari dan memanjat pagar sebuah rumah kedai di Jalan Penang di sini dalam keadaan sebahagian badannya melecur akibat kebakaran di bilik kediaman dua tingkat itu petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa berusia 41 tahun itu bagaimanapun berjaya diselamatkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai yang tiba ke lokasi kejadian.

Difahamkan, mangsa ialah penjaga premis berkenaan yang merupakan salah sebuah bangunan warisan yang terletak di tengah pusat bandar raya ini.

Pegawai Operasinya, Muzamer Mohd. Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pukul 3.13 petang dan tiba ke situ kurang 10 minit kemudian.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian mendapati kebakaran berlaku di bilik bawah rumah kedai dua tingkat dengan anggaran peratusan kemusnahan adalah 20 peratus.

“Sebaik pasukan tiba, mangsa yang ditemui dalam keadaan melecur di bahagian badan hingga muka itu terus dibawa dengan MERS bomba ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan.

“Kita dimaklumkan yang mangsa sebelum itu cuba menyelamatkan diri dengan melompat pagar rumah kedai untuk meminta bantuan orang awam. Keadaannya ketika itu stabil dan masih sedar,” katanya kepada Kosmo! di sini sebentar tadi.

Katanya, punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan pasukan forensik bomba. – K! ONLINE.

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI