KOTA TINGGI – Lima beradik di Kampung Teluk Jeri Luar, Tanjung Sedili hanya mampu berpelukan diantara satu sama lain selain melaungkan azan ketika kejadian ribut melanda kampung itu semalam.
Shazrul Faiza Nat Noor, 33, berkata, ekoran kejadian itu turut menyebabkan kereta Perodua Myvi miliknya remuk akibat dihempap pokok kelapa.
“Ketika kejadian kami lihat cuaca gelap dan nampak keadaan seperti lain macam apabila hujan turun lebat beserta angin.
“Keadaan semakin genting apabila angin semakin kuat sehingga berbunyi siulan kuat ketika itu kami dengar pokok tumbang menghempap kereta saya.
“Kami sempat juga alihkan sebuah lagi kereta di rumah kemudian terus berkumpul di halaman rumah dan saling berpelukan kerana takut. Masa tu adik sempat melaungkan azan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.
Anak sulung itu berkata, meskipun sedih kerana keretanya yang sudah habis dibayar itu rosak teruk namun bersyukur kerana keluarganya terselamat.
Katanya, kejadian sama pernah berlaku kira-kira 12 tahun yang lalu, namun tidak seteruk yang berlaku semalam.
Terdahulu, hujan lebat selama lebih dua jam bermula kira-kira pukul 3 petang disusuli ribut dan angin kencang menyebabkan 291 rumah dan beberapa bangunan kerajaan mengalami kerosakan.
Tujuh kampung yang terjejas adalah Kampung Teluk Jari Luar, Kampung Teluk Jari Dalam, Tanah Putih dan Kampung Sri Gading. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929