fbpx

Kelulusan operasi penerbangan helikopter ambil tempahan ‘nasi ganja’ disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar tular yang mendakwa beberapa individu menggunakan helikopter untuk membawa 'nasi ganja' dari sebuah restoran popular di bandar raya Ipoh, Perak.

PUTRAJAYA – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan membuat semakan sama ada pengendali dan kru pengendali helikopter yang mendarat di padang Majlis Bandaraya Ipoh, Perak pagi semalam, terlibat melaksanakan operasi penerbangan itu dalam skop yang diluluskan atau sebaliknya.

Perkara itu antara aspek siasatan yang telah dimulakan CAAM ke atas helikopter jenis Bell 505 dan dikendalikan Systematic Aviation Services Sdn. Bhd. (SAS) itu.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Chester Voo berkata, siasatan awal mendapati helikopter tersebut berlepas kira-kira pukul 9.08 pagi dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang ke Ipoh dan kembali ke Subang pukul 11.02 pagi, seperti difailkan dalam pelan penerbangan.

Beliau berkata, CAAM telah menjalankan siasatan segera bagi menentukan sama ada helikopter berkenaan melanggar mana-mana peraturan seperti yang tertakluk dalam Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 dan Civil Aviation Directives (CADs).

“Kami ingin menegaskan bahawa semua pengendali pesawat harus mematuhi peraturan  umum seperti tertakluk dalam CAD 2 (Rules of the Air), Chapter 3.1. Protection of Persons and Property serta peraturan-peraturan lain yang berkaitan,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, pihaknya akan terus memastikan semua pengendali pesawat mematuhi peraturan dan piawaian keselamatan yang telah ditetapkan demi keselamatan industri dan orang awam.

Kosmo! Online semalam melaporkan, orang awam ‘terkejut’ dengan kemunculan helikopter mendarat di padang berkenaan, dipercayai bagi mengambil tempahan nasi kandar dari sebuah restoran terkemuka di Ipoh yang didakwa mempunyai kaitan dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

Terdapat dua individu dalam helikopter berkenaan dipercayai milik syarikat swasta, ‘ditugaskan’ untuk mengambil tempahan nasi kandar yang dikenali sebagai ‘nasi ganja’.

Difahamkan, helikopter itu mendarat di padang itu bagi mengambil 36 bungkusan nasi ganja yang ditempah oleh pelanggan dari Kuala Lumpur. -K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI