BARU-BARU ini tular sebuah video program MasterChef Australia yang turut disertai penyanyi antarabangsa terkenal, Katy Perry.
Video tersebut tular dalam ruangan Twitter kerana pelantun lagu Roar itu menikmati makanan yang cukup popular dengan budaya orang Malaysia iaitu rendang itik dan pulut kuning.
Dalam episod tersebut, Perry telah mencuba masakan air tangan seorang cef kelahiran Malaysia yang kini menetap di Australia bernama Poh Ling Yeow.
Poh mencuba nasib dengan menghasilkan masakan tradisional iaitu rendang itik dan pulut kuning.
Pada awalnya, menu tersebut telah mengingatkan Perry kepada makanan Barat iaitu burito, malah dia juga takut untuk mencubanya kerana bahan yang digunakan ialah itik.
Namun, selepas satu suapan, Perry memuji masakan Poh walaupun agak pedas pada lidahnya. Dia juga dilihat tidak berhenti daripada terus menyuap makanan tersebut ke dalam mulutnya.
Difahamkan, episod tersebut berlangsung sewaktu Perry sedang mengandung sekitar tahun lalu.