IMPIAN atlet gimnastik artistik lelaki negara, Jeremiah Loo untuk mencipta kejutan layak ke pusingan seterusnya gagal apabila terpaksa akur meraih tempat ke-19 dalam saingan kumpulan pertama di Pusat Gimnastik Ariake hari ini.
Jeremiah, 23, yang bertanding untuk acara individu all around di Sukan Olimpik Tokyo 2020 hanya mengutip keseluruhan 67.498 mata.
Jurulatih gimnastik kebangsaan, Ng Shu Liang berkata, atlet kelahiran Penang itu telah memberikan yang terbaik dalam usaha meloloskan diri ke pentas final tetapi nasib tidak menyebelahinya.
“Jeremiah sudah memberikan prestasi terbaik dan saya sangat berpuas hati dengan apa yang ditampilkan. Mungkin kekangan persiapan yang tidak mencukupi menjadi faktor kegagalan ke pusingan seterusnya memandangkan Jeremiah hanya melayakkan diri ke pentas Sukan Olimpik pada bulan lepas.
“Secara keseluruhan, ini adalah pendedahan dan pengalaman yang terbaik buatnya yang beraksi di temasya sukan terbesar buat pertama kali,” kata Shu Liang dalam kenyataan di Facebook Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini.
Hanya 24 gimnas terbaik dengan maksimum dua wakil setiap negara layak ke final bagi acara individu all around yang akan berlangsung Rabu ini.
Selain Jeremiah, seorang lagi gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi dijadualkan untuk membuat penampilan sulungnya pada pusingan kelayakan all around wanita di venue yang sama esok. – K! ONLINE