KUALA LUMPUR – Sebanyak 5,527 kes penipuan Macau Scam telah direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) melibatkan kerugian berjumlah RM327,910,835.05 sejak Januari 2019 hingga Jun tahun ini.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md. Din berkata, sejumlah 2,466 kes dicatatkan pada tahun 2019 dengan kerugian RM12,855,100.39.
“Sementara pada tahun 2020, sebanyak 2,247 kes dilaporkan dengan nilai kerugian RM172,710,823.64 manakala sepanjang Januari hingga Jun tahun ini sebanyak 814 kes dengan kerugian RM33,344,911.02.
“Berdasarkan statistik, seramai 5,535 individu yang berusia dalam lingkungan bawah 20 hingga 50 tahun ke atas telah menjadi mangsa dalam tempoh dua tahun sejak 2019 hingga Jun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, berpandukan analisis yang dijalankan, individu berusia 51 tahun ke atas cenderung untuk menjadi mangsa penipuan kerana kurang pendedahan terhadap informasi dan perkembangan kes-kes penipuan.
“Golongan ini lazimnya mempunyai aliran kewangan yang stabil dan mempunyai wang simpanan untuk hari tua serta wang persaraan.
“Peratusan untuk mereka menjadi mangsa penipuan adalah lebih tinggi. Amat menyedihkan apabila wang yang sepatutnya menjadi kegunaan untuk hari persaraan hilang akibat menjadi mangsa penipuan,” jelasnya.
Tambahnya, polis melihat pentingnya komunikasi dalam kalangan ahli keluarga bagi menyalurkan maklumat serta perkembangan modus operandi penipuan sebegini. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929