AMPANG JAYA – Seramai 12 individu ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal dan aktiviti penyalahgunaan dadah di sekitar daerah ini dalam tempoh sebulan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah menjalankan operasi secara berterusan dalam mengesan dan menangkap suspek kes curi motosikal.
“Operasi tersebut diketuai Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya dengan kerjasama Balai Polis Ampang, Pandan Indah, Hulu Kelang dan Taman Melawati.
“Modus operandi kumpulan atau suspek ini adalah dengan mencuri motosikal di kawasan perumahan pangsapuri atau kawasan awam seperti di tepi jalan yang kurang kehadiran orang ramai.
“Kebanyakkan kejadian kecurian motosikal berlaku bermula pukul 6 petang sehingga 8 pagi. Jenis motosikal yang menjadi sasaran adalah Yamaha 135LC, Yamaha 125Z dan juga Honda EX5,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, motosikal yang dicuri kebanyakannya dijual dalam pasaran gelap dan ada juga untuk kegunaan sendiri atau penggantian komponen kenderaan sendiri.
“Seramai 150 individu berusia dalam lingkungan 15 hingga 40 tahun telah diperiksa sejak 24 Jun lalu sehingga semalam dan kita telah menahan 12 orang atas pelbagai kesalahan jenayah.
“Kita juga telah menemui semula dan merampas enam buah motosikal, rangka motosikal (24), sebuah motosikal dalam keadaan tidak sempurna dan peralatan untuk mencuri motosikal.
“Polis percaya dengan tertangkapnya suspek berjaya menyelesaikan sebanyak 32 kes kecurian motosikal. Kita turut membuat lapan tangkapan berkaitan kes penyalahgunaan dadah,” jelasnya. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929