PUTRAJAYA – Sebanyak 10 inisiatif baharu diperkenal di bawah Pelan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Perpaduan 2021- 2030, yang dibangunkan Kementerian Perpaduan Negara ke arah memantapkan lagi peranan Tabika Perpaduan sebagai institusi pendidikan awal kanak-kanak dalam membentuk kemenjadian murid.
Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, 10 inisiatif baharu tersebut merangkumi pengenalan tiga mata pelajaran baharu iaitu Pendidikan Rukun Negara, Komunikasi Asas Bahasa Ketiga dan Jom Urus Diri.
Beliau berkata, inisiatif itu turut meliputi pengenalan tujuh buku aktiviti iaitu Buku Pendidikan Rukun Negara, Jom Urus Diri, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik Awal, Sains Awal dan Pendidikan Moral.
Menurutnya, inisiatif lain ialah pengenalan modul kursus dan latihan guru Tabika Perpaduan, buku panduan pengajaran tahunan, mingguan dan harian di samping buku pentaksiran harian dan bulanan serta buku pengurusan dan pentadbiran Tabika Perpaduan.
“Inisiatif lain yang turut diberi perhatian adalah dengan memperkenalkan unit naziran Tabika Perpaduan serta usaha memantapkan imej dan identiti Tabika Perpaduan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Perpaduan 2021-2030 secara dalam talian hari ini.
Beliau berkata, Pelan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Perpaduan 2021- 2030 yang dibangunkan adalah berteraskan kepada Kurikulum Standard PraSekolah Kebangsaan (KSPK) yang memberi fokus kepada penghayatan pendidikan Rukun Negara dan penerapan nilai-nilai murni dalam diri murid.
“Inisiatif ini adalah bagi memastikan Tabika Perpaduan menjadi institusi pra sekolah yang membentuk murid yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, mempunyai semangat cintakan negara dan memiliki akhlak yang mulia,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929