USIA kerjaya seninya barangkali baru setahun jagung, namun pengaruhnya menggunung. Dia kian mencuri tumpuan dengan lagu-lagu bernuansa hip-hop seperti Jatuh Boi (featuring SonaOne) dan terbaharu, single yang menggabungkan tiga penyanyi serumpun berjudul Orang Lain bersama SonaOne dan A. Nayaka.
YHB Sleepsalot. Sepotong nama yang mungkin kedengaran agak asing di Malaysia, namun semakin mendaki tangga populariti dengan karya-karya hip-hop kontemporari.
Seperti kebanyakan individu yang berkecimpung dalam dunia seni, pada usia 20 tahun, YHB mempunyai impian besar membawa namanya ke peringkat antarabangsa, sekali gus membanggakan negara kelahirannya, Singapura.
“Saya mahu terus berusaha mencari suara sendiri untuk membawa hip-hop lebih jauh lagi. Saya ingin membuktikan bahawa saya serba-boleh dan sedia bereksperimen dengan apa jua rentak yang diberikan walau dengan rentak trap sekali pun.
“Perihal itu tidak menjadi masalah buat diri saya. Saya menyimpan impian mahu berkolaborasi dengan The Weeknd dan Alyph satu hari nanti kerana mereka mempunyai suara yang unik dan sesuai dengan nada vokal,” katanya.
Bieber jadi punca
Berstatus generasi milenial, YHB memberitahu, dia sangat mengagumi penyanyi antarabangsa, Justin Bieber selain turut menjadikan anak-anak seni agung dunia seperti mendiang Michael Jackson sebagai referensi dalam merentakkan muzik.
“Saya meminati muzik sejak kecil kerana terikut-ikut dengan ibu bapa saya yang meminati pelbagai jenis muzik.
“Justeru, pengaruh muzik mereka yang pelbagai telah menambahkan lagi minat saya terhadap dunia muzik dengan lebih mendalam.
“Saya masih ingat lagi, pertama kali saya cuba menyanyi depan orang ramai ialah ketika menyertai pertunjukan bakat sekolah pada usia 13 tahun dan saya menyanyikan lagu Baby dendangan asal Justin Bieber.
“Meskipun tersingkir pada pusingan awal, apa yang berlaku sama sekali tidak mematahkan semangat dan motivasi saya,” tutur YHB.
Diajak berbicara tentang titik mula kariernya sebagai penyanyi hip-hop atau rap, YHB tidak segan membuka pekung cerita.
Katanya, sejak pada usia muda lagi, dia cukup yakin dengan cita-citanya untuk bergelar penghibur.
“Saya tahu bahawa saya ditakdirkan untuk berada dalam industri ini tanpa mempedulikan berapa banyak kegagalan yang harus saya hadapi.
“Saya mengakui kemunculan saya ke dalam dunia seni sebab banyak terpengaruh dengan Justin Bieber. Sejak itu saya sering mengimpikan untuk bergelar sebagai seorang penghibur sama sepertinya,” luahnya.
Ilham, Eminem
Ceritanya, rapper ulung dunia, Eminem memainkan peranan penting yang menggerakkan motivasinya berkecimpung dalam dalam muzik bernuansakan hip-hop.
“Perjalanan saya dalam dunia hip hop dan rap pula bermula ketika mendengar lagu Eminem dan tertarik dengan nilai penceritaan di sebaliknya. Ketika di bangku persekolahan, saya mula menulis lagu dan akhirnya merakamkan satu kompilasi muzik pada usia 17 tahun.
“Saya mempunyai kelebihan bercakap dengan laju yang memudahkan saya bernyanyi rap. Semasa membesar, saya selalu dimarahi kerana bercakap terlalu banyak dan laju. Tidak tahu pula akan menjadi sangat berguna dalam kerjaya saya hari ini,” ujarnya seraya berseloroh.
Buat seorang pemuzik, bukan mudah untuk mendapatkan inspirasi penghasilan sesebuah karya. YHB bagaimanapun tidak terlalu sukar untuk mencari ilham menulis lagu.
“Sejujurnya, penciptaan lagu tidak susah buat saya. Saya hanya perlu fokus kepada jenis mesej yang ingin disampaikan.
“Maklumlah saya jenis orang yang mudah hilang fokus. Selalunya, saya akan menulis muzik ketika saya berasa bosan kerana keadaan itu membuatkan saya lebih kreatif.
“Ilham pula boleh datang pada bila-bila masa sahaja tanpa mengira tempat.
“Jadi saya akan tulis semua ilham itu di dalam buku nota kecil. Jika saya mahu melengkapkan lagu, saya akan rujuk semula buku catatan itu,” jelasnya.
‘Bahasa Melayu indah’
Menetap di sebuah negara yang serba moden dan antara yang terkaya di dunia, YHB tetap tidak melupakan asal usulnya dan kemelayuan yang ada dalam diri.
Bahasa Melayu baginya satu bahasa yang menghadirkan rasa kagum dengan keindahan kosa kata dan tatabahasa.
Kekaguman itulah yang membuatkan YHB selesa menyanyi rap dalam bahasa indah dan setiap kata mempunyai maksud mendalam.
“Semasa mula-mula jadi penyanyi rap, saya tulis lirik dalam bahasa Inggeris namun selepas beberapa eksperimen, saya dapati menulis dalam bahasa Melayu lebih memberi kepuasan.
“Bahasa Melayu ialah bahasa ibunda dan saya sendiri ketika berada di rumah bercakap dalam bahasa Melayu dengan ibu bapa,” katanya.
Katanya lagi, bahasa Melayu mempunyai seni yang amat dalam dan itu membuatkan dirinya terus bersemangat untuk menulis dalam bahasa ibunda.
“Tulis bahasa Melayu lagi beremosi dan memberi makna mendalam kepada saya. Itu sesuatu yang saya suka tentang bahasa ini.
“Lagi deep (mendalam) dan tulen. Saya berharap dalam tulis lebih banyak lagu berbahasa Melayu selepas ini,” bingkasnya menggulung perbualan.