KLANG – Golongan warga emas khususnya yang masih belum menerima vaksin menjadi mangsa korban paling tinggi khususnya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini.
Pengarah HTAR, Dr. Zulkarnain Mohd. Rawi berkata, secara purata sebanyak 30 hingga 40 kematian direkodkan melibatkan golongan tersebut yang menerima rawatan di hospital itu.
Katanya, rata-rata mereka adalah pesakit Covid-19 kategori empat dan lima yang memerlukan bantuan pernafasan sebelum meninggal dunia.
“Secara purata seramai 30 hingga 40 pesakit dalam kalangan warga emas meninggal dunia sehari akibat Covid-19. Jumlah itu tinggi, namun operasi di HTAR masih dalam keadaan terkawal.
“Semalam (kelmarin) sahaja, 33 kematian direkodkan di HTAR daripada 199 kematian di seluruh negara,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jumlah spesifik pesakit Covid-19 yang kini dalam rawatan di HTAR.
Ujarnya, sumbangan kematian itu disebabkan varian Delta yang semakin menular ditambah mereka yang meninggal dunia ini belum menerima vaksinasi yang dijalankan kerajaan.
Menurut Dr. Zulkarnain, sekiranya vaksinasi diterima, ia dapat meminimumkan simptom atau gejala sekiranya dijangkiti Covid-19.
“Penyimpanan mayat ketika ini mencukupi dengan dua buah kontena peti sejuk sedia ada di HTAR.
“Kita turut menerima (petugas kesihatan) mobilasi dari Perlis dan Perak yang kebanyakannya adalah jururawat. Selain itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut membantu dalam membawa mayat dari wad kecemasan ke bilik mayat dan kontena tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, proses pengeluaran mayat terutama beragama Islam untuk proses pengebumian berjalan lancar dengan bantuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selain pengkhususan dua tanah perkuburan sebelum ini.
Sementara itu, Bahagian Pengurusan Operasi Ibu Pejabat APM, Kapt. (PA) M. Rageshwaran berkata, bantuan tersebut dilaksanakan bermula semalam dengan keanggotaan seramai 16 orang dalam tempoh 24 jam.
“Kita membantu dalam mengambil mayat dan urusan penyimpanan mayat selain membantu pegawai kesihatan memeriksa butir tag peribadi mayat-mayat itu bagi memudahkan urusan pengeluaran mayat dan pengebumian,” katanya.-K! ONLINE