fbpx

Wakil pembangkang dijemput anggotai MPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul

PUTRAJAYA – Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersetuju untuk menjemput wakil-wakil daripada parti-parti pembangkang iaitu Pakatan Harapan, Warisan and Pejuang sebagai ahli majlis itu selaras dengan pendekatan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berlandaskan prinsip kolaborasi, inklusif dan whole-of-nation.

Perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat pertama MPN yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Menteri Penyelaras PPN, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, MPN juga bersetuju untuk menjemput wakil dari kerajaan-kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk menganggotai majlis itu.

Beliau berkata, MPN juga mengalu-alukan kesediaan dan penglibatan pakar-pakar daripada pelbagai industri, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pakar-pakar ekonomi, sosial dan kesihatan yang telah bersetuju untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman masing-masing.

Menurutnya, mereka ialah Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Tan Sri Azman Mokhtar, Tan Sri Anthony Fernandes, Profesor Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman, Datuk Seri Wong Chun Wai, Datuk Michael Kang, Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim, Datuk Dr. Hartini Zainuddin dan Dr. Sivakumar Thurairajasingam.

“Keanggotaan wakil-wakil parti pembangkang, tokoh-tokoh dan pakar-pakar daripada pelbagai sektor ini akan memantapkan lagi keahlian MPN serta pelaksanaan PPN yang bersifat dinamik dan perlu diadaptasi berdasarkan situasi semasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tengku Zafrul yang juga Menteri Kewangan berkata, MPN berharap kepelbagaian pendapat dan kepakaran itu dapat menyumbang kepada pemerkasaan sektor kesihatan, peningkatan usaha vaksinasi, penyelarasan, pelaksanaan dan keberkesanan SOP serta sokongan dan bantuan kerajaan dalam tempoh pemulihan.

“Seterusnya, MPN juga akan menyampaikan maklumat mengenai aspek-aspek PPN kepada rakyat secara telus dan mudah difahami melalui portal rasmi PPN yang akan dilancarkan pada 26 Julai ini,” katanya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI