LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp terpaksa menerima hakikat beliau tidak dapat menghalang bintang utamanya, Mohamed Salah jika berhasrat mencari angin baharu bersama pasukan-pasukan lain.
Salah kini menjadi sasaran alternatif kepada gergasi Sepanyol, Real Madrid jika gagal mendapatkan tandatangan penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe.
Bukan itu sahaja, PSG juga dipercayai mahukan khidmat Salah untuk menggantikan tempat Mbappe sekiranya perpindahan berkenaan menjadi kenyataan.
Klopp pastinya akan cuba mengekalkan Salah di Anfield, namun pada masa sama tetap bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan giat memantau perkembangan pemain tengah West Ham United, Jarrod Bowen.
Bowen dikatakan mempunyai gaya permainan seakan-akan sama seperti Salah yang gemar melakukan larian deras di bahagian tepi padang untuk menembusi benteng pertahanan pasukan lawan.
Sebagai rekod, Bowen antara salah seorang nadi kecemerlangan West Ham dengan lapan gol dan lima umpanan jaringan daripada 38 perlawanan Liga Perdana Inggeris sekali gus membantu The Hammers meraih tempat keenam musim lalu.
Kehadiran pemain berusia 24 tahun itu mampu menguatkan jentera serangan The Reds yang bersedia menjual Xherdan Shaqiri dan Divock Origi pada jendela perpindahan ketika ini. – AGENSI