PELAKON popular Indonesia, Fauzi Baadilla enggan ada pihak yang tersalah faham apabila menyaksikan dirinya membawa watak seorang pembenci Islam sedangkan dia sekadar menjalankan tanggungjawab sebagai pelakon.
Menurut Fauzi, sudah tentu dirinya bimbang saat diberi tugas untuk membawakan watak Rahmat dalam filem Hayya: The Power of Love 2 kerana naskah itu cukup berat.
“Membawakan watak orang yang dibenci orang dan suka buruk sangka terhadap agama Islam, itu bukan sesuatu yang mudah dan benar-benar menguji diri ini.
“Tentunya saya risau kerana takut sekiranya mental dan kerohanian saya sendiri terjejas. Namun, alhamdulillah, saya berjaya membawakannya sebagaimana yang diinginkan pengarah dan penerbit,” katanya.
Menurut Fauzi, dari satu sisi lain, dia benar-benar berharap lakonannya memberi kesan kepada penonton, terutama dalam mempersembahkan keindahan Islam.
“Saya berniat dan lakukan ini sebagai sebahagian daripada dakwah kecil yang mana mungkin sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran kepada masyarakat tentang keindahan Islam.
“Selain itu, Hayya: The Power of Love 2 tidak terlalu mendapat tentangan dan mencetuskan kontroversi berbanding filem pertama.
“Penonton di Indonesia suka dan saya berharap agar peminat di Malaysia juga akan senang menerima,” katanya.
Hayya: The Power Of Love 2 merupakan antara filem yang ditayangkan secara eksklusif menerusi Astro First dan menariknya, Astro juga menawarkan penonton pakej kombo untuk menonton siri pertama, 212 The Power Of Love bermula 22 Julai lalu.
Sementara itu, menurut pengarah filem ini, Jastis Arimba, Hayya : The Power of Love 2 merupakan karya pertama Indonesia yang menjalani penggambaran di Palestin, sekali gus menyuarakan isu-isu kemanusiaan yang berlaku di negara bergolak itu.
“Filem ini mengingatkan kita betapa bersyukurnya lahir dan hidup di negara yang aman serta nyaman seperti Indonesia atau Malaysia, tidak ada konflik seperti di Palestin sehingga kita harus lebih peduli dan membantu persoalan saudara-saudara Muslim di sana.
“Cabaran terbesar adalah mencari pelakon kanak-kanak yang sesuai untuk membawakan watak Hayya. Tetapi secara teknikalnya, saya tidak mempunyai masalah untuk mengarah filem ini. Ditambah dengan komitmen dan dedikasi kru produksi termasuk semua pelakon, kami berjaya menghasilkan sebuah filem yang cukup bermutu,” katanya. – K ONLINE