fbpx

Suntik Pfizer jadi kacak, gurau netizen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech sebanyak 312,390 dos tiba di tanah air dari Belgium pada 21 Februari lalu.

Ia bermulanya sebuah harapan dalam menangani krisis Covid-19 di negara ini.

Selepas vaksin Pfizer dari Amerika Syarikat (AS) tiba, kemudian kumpulan pertama vaksin Sinovac dari China pula memasuki Malaysia pada 27 Februari lalu dalam bentuk cecair sebanyak 200 liter yang boleh diproses menjadi lebih 300,000 dos.

Namun ketika itu, terdapat rakyat yang lebih takut untuk menerima suntikan berbanding dijangkiti Covid-19. Antara isu yang timbul adalah status halal vaksin dan kesan yang dialami selepas menerima suntikan.

Pada 21 April lalu, masuk pula kumpulan pertama 268,800 dos vaksin AstraZeneca dari United Kingdom (UK) ke Malaysia. Tetapi, ramai pula yang cemas apabila terdapat kejadian darah beku di UK selepas pengambilannya.

Akhirnya kerajaan menawarkan vaksin itu secara sukarela dan berdasarkan konsep ‘siapa cepat dia dapat’. Vaksin yang dianggap tidak laku itu rupa-rupanya laris bagai pisang panas.

Setakat ini, lebih 4.7 juta rakyat Malaysia sudah lengkap dua dos suntikan pelbagai jenis vaksin.

Di sebalik angka itu, penerima Pfizer merasakan mereka lebih selamat daripada ancaman Covid-19 kerana vaksin itu dikatakan mampu memberi perlindungan seumur hidup.

Pfizer juga dianggap vaksin kayangan apabila kumpulan pertama penerima terdiri daripada golongan orang kenamaan selain barisan hadapan.

Ramai juga netizen yang bergurau mereka lebih kacak selepas menerima vaksin itu. AstraZeneca yang sebelum ini digeruni ramai, tetapi kini menjadi kebanggaan apabila ia juga dilaporkan mampu memberi perlindungan kuat yang boleh bertahan seumur hidup.

Kelebihan itu membuatkan sebahagian penerima Sinovac pula mempersoalkan keberkesanan vaksin yang diterima mereka terutama apabila pemberian Sinovac di Kelantan akan dihentikan dan bakal digantikan dengan Pfizer.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menjelaskan, sebenarnya tiada banyak beza antara Sinovac dan Pfizer kerana kedua-duanya sangat efektif dalam mencegah jangkitan yang teruk.

Untuk rekod, Pfizer dilaporkan mempunyai keberkesanan 95 peratus, Sinovac antara 50.4 hingga 91.25 peratus dan AstraZeneca pula antara 62 hingga 90 peratus jika lengkap kedua-dua dos.

Selain perlindungan vaksin, kita juga perlu meningkatkan imuniti tubuh melalui amalan pemakanan yang seimbang dan gaya hidup sihat. Biar tak kacak asalkan tidak menghidap diabetes, darah tinggi atau sakit jantung.

Kurangkan pengambilan makanan berlemak, masin dan minuman manis yang menyundang pelbagai penyakit yang berisiko menyebabkan komplikasi apabila dijangkiti Covid-19 sehingga boleh membawa maut.

Perlindungan vaksin tak kiralah dari AS, UK atau China dan disokong dengan imuniti tubuh yang kuat akan mengurangkan kesan yang teruk jika dijangkiti Covid-19.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI