KOTA BHARU – Seorang penganggur mendakwa cedera selepas ditampar penghulu sebuah kampung kerana dituduh menularkan kisah penipuan cek tunai yang diterimanya di media sosial.
Kejadian itu dikatakan berlaku di sebuah kedai kopi di Kampung Aur Duri, Salor di sini pada pukul 11.30 pagi kelmarin.
Mangsa berusia 58 tahun dipercayai tidak dapat mengeluarkan wang daripada cek tunai bernilai RM300 yang diterima daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) setelah kematian isteri bulan lalu.
Menurut sumber, penghulu kampung yang tidak berpuas hati datang ke kedai kopi itu sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.
Katanya, dalam kejadian itu, penghulu tersebut dipercayai telah menampar pipi kiri, menepuk dahi mangsa tersebut beberapa kali selain menarik bajunya untuk keluar dari kedai kopi berkenaan.
“Penghulu itu mahu mangsa meminta maaf dan menarik semula perkara yang telah ditularnya. Dia (penghulu) memaklumkan tidak mahu melihat lelaki itu di kampung tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan punca kejadian masih dalam siasatan. – K! ONLINE