PETALING JAYA – Hong Seng Consolidated Bhd (Hong Seng) mengumumkan Pantasniaga Sdn. Bhd., anak syarikat dengan kepentingan 51 peratus dalam HS Bio Sdn. Bhd. (HS Bio) atau lebih dikenali sebagai HS Bio Supplies Sdn. Bhd. telah menerima kontrak daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membekalkan kit ujian reaksi rantai polimerase (PCR) untuk Covid-19 dengan nilai berjumlah RM112.32 juta.
Ini merupakan kontrak terbesar bagi Pantasniaga selepas menerima kontrak daripada KKM bernilai RM34.3 juta pada 3 Februari tahun ini.
Pengarah Eksekutif Hong Seng, Christopher Chan berkata, bekalan kit ujian PCR akan dibekalkan kepada Institut Kajian Perubatan dan Makmal Kesihatan Umum di Kota Kinabalu, Sabah dan kontrak berkenaan dijangka berakhir pada 25 Julai 2022.
“Kontrak terbaharu ini merupakan satu lagi penghargaan buat komitmen kukuh kami selama ini dalan melaksanakan ujian Covid-19 dilaksanakan secara lebih berkesan dan efektif di Malaysia.
‘Sebelum ini, Pantasniaga telah menunjukkan prestasi yang baik dan memenuhi kontrak beberapa bekalan kepada KKM dan juga agensi kerajaan yang lain untuk membekalkan kit ujian PCR di Semenanjung dan juga di Sabah bagi membantu membendung wabak berbahaya itu,” katanya dalam kenyataan.
Chan menjelaskan, kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan akan datang dan juga kepada pendapatan sesaham Kumpulan.