fbpx

Nafas baharu rock Melayu Ramayan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMPULAN Ramayan.

SELEPAS meluncurkan album studio perdana berjudul Di Persiaran Cakrawala pada Januari lalu, kumpulan indie Ramayan kini giat mempromosikan single kedua yang terkandung album berkenaan, Puas.

Lagu Puas pada awalnya dicipta dan ditulis oleh bekas ahli kumpulan itu, Naz (pemain keyboard) dan Amin (gitaris) untuk projek sampingan mereka.

Ketika kali pertama mendengar lagu tersebut dimainkan Naz, Pie selaku vokalis dan gitaris kedua Ramayan mengakui terus berasa tertarik dengan pilihan kordnya.

“Apabila saya cuba memasukkan melodi nyanyian, idea datang begitu sahaja seolah-olah saya diberi ilham. Proses yang selalunya mengambil masa sehari untuk disiapkan berjaya dibikin dalam masa beberapa jam sahaja,” ujar Pie.

Tambah Pie lagi, ilham penulisan Puas hadir ketika dirinya berada dalam situasi yang amat gelap suatu ketika dahulu.

RAMAYAN berharap lagu berentak balada rock berjudul Puas mampu mengujakan pendengar yang meminati genre sedemikian.

“Dahulu saya percaya di mana sahaja ada cinta, di situ ada Tuhan. Kepercayaan itu paling kuat dirasai apabila saya jatuh cinta dengan seorang gadis.

“Malangnya, dia dimiliki orang lain iaitu sahabat akrab saya sendiri. Namun saya tetap berkeras dengan cinta itu, sehingga menyebabkan mereka berpisah. Saya menyesal dengan tindakan tersebut, maka terlahirlah karya ini, sebuah lagu penyesalan,” dedahnya.

Bercerita lanjut, Puas menjadi percubaan Ramayan untuk memberi nafas baharu terhadap muzik rock tempatan terutamanya rock ‘jiwang’.

Percubaan 

Mereka berpendapat bahawa bunyi rock yang dibawa kebanyakan penyanyi kini kurang berkualiti dan nilai kepuasan dari segi kreativiti dan mesej dalam lirik.

“Kebanyakan penulis sekarang hanya mengambil berat tentang apa yang ‘catchy’ dan mudah didengar, menulis lirik yang tidak memerlukan daya pemikiran dan falsafah serta tidak bermakna.

“Kami pun tulis tentang cinta juga tetapi caranya berbeza. Kami melihat dari sudut berbeza dan lebih mendalam. Inilah yang membuatkan lagu menjadi unik,” pemain dram, Que.

Dari segi instrument dan muziknya pula, Ramayan mengambil inspirasi daripada irama lagu balada 1980-an dan 1990-an, antaranya seperti karya-karya Sudirman Arshad, Carefree, Kenny Remy Martin dan Aman Shah.

“Kami mahu mendapatkan kedudukan yang sama dalam jiwa orang ramai dengan menggunakan unsur-unsur yang ada pada zaman dahulu bagi membangkitkan nostalgia.

“Caranya dengan menggabungkan gaya ‘psychedelic’ kami,” jelas pemain bassnya pula, Omar.

PERJALANAN muzik kumpulan Ramayan tidak berlaku seperti diharapkan. Muncul dengan album sulung pada musim pandemik menyukarkan kumpulan ini untuk dikenali khalayak secara meluas.

Ramayan juga menyimpan harapan agar lagu-lagu mereka akan dibawa ke dunia perfileman sama ada sebagai lagu runut bunyi sesebuah drama bersiri ataupun filem.

Hal ini kerana mereka percaya, mereka lagu Puas memiliki ‘mood’ yang penuh dinamik dan emosi, seolah-olah menceritakan tentang sebuah yang panjang.

Lagu Puas kini boleh dilayari menerusi semua platform digital seperti Spotify, JOOX, iTunes dan Deezer.

Video muzik juga sudah menemui peminat menerusi YouTube sejak April lalu.

Mengikut perancangan asal, Ramayan sepatutnya mengadakan jelajah promosi ke seluruh Malaysia sempena pelancaran album sulung.

Bagaimanapun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa dan peningkatan kes harian Covid-19 saban hari merencatkan perancangan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI