CYBERJAYA- Orang ramai diingatkan supaya jangan mudah terpedaya dengan sebarang gimik jualan murah yang terdapat di internet berikutan ia tidak tertakluk kepada akta di negara ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan berkata, kebanyakan produk itu dijual dari laman web atau aplikasi tidak berdaftar di dalam negara.
“Sesetengah produk yang dipromosikan di platform tersebut mempunyai kecenderungan untuk menyerupai produk berjenama.
“Jika pengguna terpengaruh, mereka akan menghadapi masalah untuk mendapatkan hak pengguna daripada platform berkenaan sekiranya kualiti produk yang dibeli menerusi gimik jualan murah itu gagal memenuhi jangkaan yang dikehendaki oleh pengguna,” katanya di sini hari ini.
MCMC berkata, sebagai langkah lebih selamat, orang ramai digesa untuk lebih bijak dalam menilai jualan dan promosi di platform e-dagang sedemikian.
Pada masa sama, MCMC mengingatkan oang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan promosi yang dijalankan dan platform yang digunakan ketika melakukan transaksi.
“Di samping itu, teliti juga syarat-syarat perkhidmatan dan polisi yang berkaitan dengan pembayaran balik dan pampasan yang ditetapkan oleh penyedia platform e-dagang bagi melindungi diri daripada terdedah kepada risiko tidak diingini,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929