fbpx

Anak tepu di rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
ARINA AZLAN
WARTAWAN EKSEKUTIF

Rantau Asia memilih untuk memperketatkan perintah berkurung. Negara jiran, Singapura mengumumkan mereka sudah bersedia untuk ‘melepaskan’ semua itu.

Sebaik sahaja imuniti kelompok berjaya dicapai, kerajaan ­Singapura akan merawat Co­vid-19 seperti demam atau virus biasa.

Tiada lagi paparan kes positif atau kematian setiap hari, persekolahan secara berdepan akan dimulakan semula, pusat kuarantin akan ditutup dan segala sekatan berkaitan pandemik akan ditamatkan.

Selepas hampir 18 bulan, ­Singapura nekad untuk mengambil langkah berani hidup bersama Covid-19.

“Covid-19 tidak akan hilang atau meninggalkan kita.

“Kita akan menjadikan Co­vid-19 kurang mengancam se­perti penyakit kaki, tangan dan mulut, influenza serta demam campak dan meneruskan kehidupan seperti biasa,” kata Menteri Perdagangan Singapura, Gan Kim Yong, Menteri Kewangan, Lawrence Wong dan Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung.

Selain Singapura, Britain dan Amerika Syarikat juga sudah mengumumkan kemerdekaan daripada Covid-19. Inilah hakikat yang perlu kita terima, hidup bersama Covid-19.

Namun aktiviti kehidupan perlu diteruskan kerana kita tidak boleh selamanya berkurung di rumah. Anak-anak sudah lama tidak melihat dunia. Bayi yang lahir pada 2020 seolah tidak tahu ada hidupan lain di luar.

Semakin lama semakin kerap kedengaran kes-kes bunuh diri, depresi dan kepayahan hidup.

Ketika fokus banyak diberi pada golongan dewasa, ramai yang terlepas pandang betapa tekanan juga sangat berat buat kanak-kanak.

Di saat mereka sepatutnya bebas bermain di luar dan menikmati zaman membesar, Covid-19 memaksa mereka me­ngenal dunia di atas skrin.

Golongan ini masih terlalu kecil untuk memahami maksud tekanan perasaan namun jika diperhatikan, ada tanda-tanda yang menunjukkan mereka juga sudah tepu di rumah.

Antaranya adalah kurang selera makan, semakin kuat memberontak dan rancangan kartun di televisyen atau YouTube bukan lagi menjadi kegilaan mereka.

“Tempoh kosong hingga lapan tahun pertama adalah sangat penting buat kanak-kanak kerana pada masa inilah otak mereka berkembang pesat.

“Menurut Pakar Psikologi Barat, Sigmund Freud, apa yang berlaku pada zaman kanak-kanak akan memberi kesan jangka panjang dalam kehidupan seseorang,” kata Pegawai Psikologi Kanan Bahagian

Perkhidmatan Manusia, Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani.

Menurut Siti Fatimah, ibu bapa perlu bersedia dari segi mental dan fizikal apabila sesi persekolahan secara bersemuka dibuka pada September ini.

Risiko jangkitan akan sentiasa ada, namun dengan bantuan capaian imuniti kelompok, ia akan dapat dikurangkan dan anak-anak boleh meneruskan pem­belajaran seperti dahulu.

“Ibu bapa perlu belajar untuk beradaptasi dengan norma baharu dunia pendidikan anak-anak.

“Saya percaya setiap ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Jadi, gali ilmu bagaimana hendak mempersiapkan diri bagi memastikan keadaan mental diri sendiri stabil sebelum menguruskan keluarga,”jelasnya.

Tambah Fatimah, pengajian secara online adalah tidak re­levan untuk diteruskan dalam jangka masa panjang. Meskipun belajar online pilihan terbaik buat masa ini, namun anak-anak perlu dilepaskan untuk kembali bebas bermain dan meneroka seperti yang sepatutnya mereka lakukan.

Oleh itu, bersama-samalah kita mengambil suntikan vaksin dan membentuk imuniti kelompok. Jangan hasut orang supaya tidak ambil vaksin. Ingatlah, tawakal tanpa usaha itu sesungguhnya satu kerja yang sia-sia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI