MUMBAI – Seramai 36 penduduk terkorban, manakala berpuluh-puluh lagi dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di barat India yang berpunca daripada hujan lebat.
“Sekurang-kurangnya 35 hingga 40 orang lagi masih terperangkap dan kami sedang cuba menyelamatkan mereka,” kata seorang pegawai.
Semalam, tiga insiden tanah runtuh melanda daerah Raigad, negeri Maharashstra.
Hujan berterusan mengakibatkan ribuan penduduk terperangkap di Maharashtra.
Tentera Laut dan Tentera Udara India melancarkan operasi menyelamat, namun sukar kerana tanah runtuh menyekat beberapa jalan utama ke lokasi bencana di Lebuhraya Mumbai-Goa.
Tentera Laut India mengerahkan tujuh pasukan penyelamat yang lengkap dengan bot getah, jaket keselamatan dan pelampung ke kawasan-kawasan yang terlibat bersama helikopter untuk mengangkut penduduk.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi India mengeluarkan amaran bahawa hujan lebat akan berterusan selama beberapa hari lagi. – AFP