LONDON – Tottenham Hotspur mula mengorak langkah dalam usaha mereka mendapatkan khidmat pemain sayap Sevilla, Bryan Gil pada jendela perpindahan musim panas kali ini.
Difahamkan, Spurs sedia membayar £25 juta (RM144.4 juta) kepada Sevilla selain turut menjadikan Erik Lamela sebagai pertukaran dalam urusan perpindahan itu.
Pasukan yang berpangkalan di London itu dijangka mengalami pembaharuan selepas melantik Nuno Espirito Santo sebagai pengurus baharu menggantikan pengendali sementara, Ryan Mason.
Spurs dijangka tidak berdepan sebarang masalah bagi memeterai perjanjian tersebut memandangkan Sevilla juga berpuas hati dengan tawaran yang dikemukakan oleh pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Selain itu, Lamela juga dikatakan bersetuju untuk menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama Sevilla selepas pasukan itu sedia membayar jumlah gaji yang sama ketika dia bersama Spurs.
Sekiranya Spurs berjaya mendapatkan Gil, mereka dianggap sebagai pasukan beruntung memandangkan pemain berusia 20 tahun itu menarik perhatian banyak kelab selepas menampilkan aksi memukau ketika dipinjamkan ke Eibar musim lalu.
Bagaimanapun, Spurs mungkin perlu menunggu sedikit masa untuk memeterai perjanjian itu memandangkan Gil perlu menggalas misi bersama skuad bawah 23 tahun Sepanyol pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020. – AGENSI