fbpx

Pilihan korban luar negara lebih murah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang kanak-kanak menangis kelaparan ketika menerima daging korban di Phnom Penh.- GAMBAR FAIL

UMAT Islam di seluruh dunia menyambut Aidiladha yang menuntut mereka melakukan ibadah korban bagi menghayati semangat pengorbanan agung Nabi Ibrahim ketika Allah menguji Baginda supaya menyembelih anakanda yang disayanginya, Nabi Ismail.

Bagi mereka yang tidak berkesempatan atau kurang berkemampuan untuk mengerjakan haji di Tanah Suci Mekah, disunatkan untuk melakukan ibadah korban yang boleh dibuat pada 10, 11, 12 atau 13 Zulhijjah.

Ibadah korban dalam Islam merupakan sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut. Ia salah satu cara berkongsi rezeki dengan saudara seagama dan pada masa sama, mendapat pahala dan keberkatan daripada Allah.

Jika dahulu, kebanyakan kita menyembelih haiwan korban seperti lembu, kerbau atau kambing di kawasan masing-masing, namun kini semakin ramai beralih angin ke luar negara untuk melakukan ibadah itu.

Apa sebenarnya yang mendorong mereka berbuat demikian hingga sampai ke Kemboja, Vietnam, negara-negara Afrika, India, Bangladesh dan sebagainya.

Mungkin ada yang sinis mengatakan, mengapa perlu pergi jauh ke luar negara sedangkan ramai lagi rakyat negara ini yang tidak berkemampuan untuk membeli daging sebagai makanan mereka di rumah.

Ditanya kepada mereka yang melakukan ibadah korban di luar negara, ada mengatakan, kadar di negara terbabit masih rendah dan berpatutan jika dibandingkan dengan negara ini.

Mungkin ada betulnya, memandangkan kadar korban bagi satu bahagian lembu di negara ini sekarang mencecah hingga RM800, sedangkan di negara luar seperti Kemboja boleh dibuat serendah RM350.

Lagipun tekanan ekonomi yang semakin menghimpit rakyat susulan pandemik Covid-19 yang tidak kunjung padam menyebabkan ramai memilih untuk melakukan ibadah korban sekadar termampu.

Ini ditambah dengan kesediaan beberapa pertubuhan bukan kerajaan serta individu persendirian menawarkan khidmat sembelihan korban di luar negara pada harga dianggap munasabah, membantu ramai orang yang terkesan dengan pandemik untuk meneruskan ibadah ini.

Dalam hal ini, mereka merujuk kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali Ke-66 yang bersidang pada 25 November 2004 yang memutuskan hukumnya harus untuk mengagihkan daging korban ke tempat atau negara lain.

Jika kos untuk melakukan korban di negara ini terus meningkat saban tahun, ramai yang berhasrat untuk berbuat demikian pastinya beralih ke luar negara.

Lagipun, pengalaman beberapa individu yang pernah melakukan ibadah korban di Kemboja dan negara Afrika menyaksikan, umat Islam di tempat-tempat itu hanya dapat menikmati daging sekali setahun iaitu ketika sambutan Aidiladha.

Bagi mereka, berkorban di negara ini atau tempat lain sama sahaja untuk berkongsi rezeki dengan umat Islam yang kurang berkemampuan, jika ada kadar lebih rendah ambil sahaja dan tidak perlu berfikir dua kali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI