LARUT – Gara-gara gagal tertekan apabila lebih dua tan buah durian tidak terjual menyebabkannya seorang peniaga memuat naik sebuah video hingga tular kononnya berlakunya lambakan buah di premis jualannya di Ijok baru-baru ini.
Peniaga tersebut, Mohd. Firdaus Endut, 41, bagaimana pun kesal serta menyedari kesilapannya apabila memuat naik video berkenaan dalam keadaan emosi.
“Disebabkan emosi dalam video itu tanpa sedar, saya terkeluar perkataan tanpa sengaja mengatakan pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) tidak pernah datang membantu saya.
“Kata-kata itu tidak tepat dan saya tidak bermaksud untuk menyalahkan sesiapa cuma disebabkan tertekan apabila melihat buah durian yang banyak depan mata tidak terjual,” katanya ketika ditemui di premis jualannya di sini.
Menurut Mohd. Firdaus, lambakan buah durian pada hari tersebut disebabkan sambutan Aidil Adha menyebabkan dia tidak dapat membawa keluar buah-buah tersebut.
Bagaimana pun, selepas video itu menjadi tular pihak FAMA daerah ini telah tampil membantunya dengan membeli kira-kira tiga tan buah durian.
Mohd. Firdaus yang kesal dengan video yang tular itu amat berterima kasih kepada FAMA sekali gus dapat mengurangkan kerugian yang ditanggung.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perladanga dan Pertanian negeri Perak, Razman Zakaria berkata, masalah lambakan yang berlaku di kawasan Ijok telah selesai apabila FAMA telah bertindak membeli lebih tiga tan buah durian untuk dipasarkan di Ipoh, Sungai Petani, Kedah dan Selayang, Selangor.
Menurutnya, tiada lambakan besar berlaku di Ijok dan Batu Kurau, malah dakwaan kononnya FAMA tidak membantu peniaga-peniaga ini adalah tidak tepat.
“Isu lambakan timbul disebabkan musim perayaan dan pemborong tidak dapat memasarkan hasil yang dibeli, malah para peniaga yang membuka payung dan meja ditepi jalan juga tidak beroperasi.
“Jadi, perkara ini telah pun diselesaikan,” ujarnya.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929