MANCHESTER – Penolong pengurus Manchester United, Mike Phelan menggesa pemain-pemain pasukan itu memandang serius cabaran yang bakal dihadapi pada saingan musim baharu nanti.
Beliau yang pernah berkhidmat bersama Alex Ferguson percaya saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2021/22 akan menjadi lebih sukar berdasarkan peningkatan ditunjukkan semua pasukan sepanjang musim lalu.
Justeru, beliau berharap semua pemain menunjukkan intensiti tinggi kerana menganggap hanya itu satu-satunya cara untuk mereka merampas gelaran Liga Perdana daripada Manchester City.
“Saingan musim lalu sangat mencabar, namun kami berjaya harunginya dengan baik dan muncul naib juara. Bagaimanapun, kami mahu catat keputusan lebih baik pada saingan musim ini.
“Jika anda mahu bermain untuk Manchester United, anda perlulah memberikan fokus sepenuhnya dari awal hingga ke akhir musim. Fizikal dan mental perlu berada pada tahap terbaik,” kata Phelan.
Tambah beliau, pemain-pemain perlu mengubah pemikiran dengan menganggap mereka akan beraksi dalam 60 perlawanan semusim, sekali gus boleh membantu dari segi persediaan fizikal.
“Sekiranya pasukan ini memiliki pemain yang berfikiran matang, mereka tidak ada sebarang masalah untuk bermain dalam setiap perlawanan bermula Ogos hingga Mei tahun depan,” ujarnya. – AGENSI