STOCKHOLM, SWEDEN – Satu kajian di Sweden mendapati golongan lelaki lebih banyak mencemarkan alam sekitar berbanding wanita dengan sebahagian besar pencemaran berpunca daripada penggunaan bahan api untuk kenderaan mereka, lapor akhbar New York Post semalam.
Kajian diterbitkan dalam Journal of Industrial Ecology itu turut mendedahkan bahawa tabiat kepenggunaan lelaki telah menyebabkan pelepasan gas rumah hijau 16 peratus lebih tinggi berbanding wanita.
Perbezaan ketara itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh perbelanjaan ke atas minyak petrol dan diesel untuk kereta.
Selain itu, kajian sama turut melaporkan terdapat sedikit perbezaan bagi jumlah wang yang dibelanjakan oleh lelaki dan wanita bujang di Sweden melibatkan perkara-perkara yang menyebabkan pencemaran alam sekitar.
“Cara mereka membelanjakan wang amat stereotaip, iaitu wanita lebih banyak berbelanja untuk perhiasan rumah, kesihatan dan pakaian.
“Manakala lelaki banyak berbelanja untuk minyak kereta, makan di luar, alkohol dan rokok,” kata penulis kajian tersebut, Annika Carlsson Kanyama.
Menurutnya, percutian merupakan sumber utama bagi kegiatan yang menyumbang kepada pencemaran alam sekitar bagi kedua-dua lelaki dan wanita.
Kajian tersebut turut menemui beberapa cara untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar yang boleh dilakukan oleh kedua-dua golongan itu.
Antaranya adalah dengan memakan makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan berbanding daging atau produk tenusu serta bercuti menggunakan kereta api berbanding pesawat atau kereta.
Kesemua cara tersebut dapat mengurangkan pencemaran sebanyak 40 peratus bagi kedua-dua golongan lelaki dan wanita. – AGENSI