SEREMBAN – Pengurusan mayat bukan Islam yang meninggal dunia disebabkan Covid-19 di Negeri Sembilan dikenakan bayaran terlalu tinggi oleh pihak tertentu sehingga membebankan keluarga mangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan Dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, J. Arul Kumar berkata, bayaran bagi kematian biasa adalah sekitar RM2,000 hingga RM3,000 untuk satu pakej, namun kos pengurusan mayat kes Covid-19 dikenakan bayaran mahal.
“Kes pengurusan mayat bukan Islam termasuk India, Cina dan Sikh bagi proses pengebumian (ditanam) atau dibakar yang paling asas dikenakan kos sekitar RM2,500 sahaja.
“Bagaimanapun, kita difahamkan oleh pihak keluarga bahawa kos pengurusan mayat kes Covid-19 dikenakan caj yang mahal mencecah RM5,000 dan ini memberi kesan serta membebankan keluarga yang baru sahaja kehilangan orang tersayang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelas Arul, bayaran dikenakan terlalu tinggi itu sesuatu yang tidak boleh diterima dan ia termasuk membabitkan pusat pembakaran mayat.
“Antara alasan yang diberikan oleh beberapa syarikat yang mengendalikan urusan pengebumian mayat tersebut adalah mereka terpaksa menanggung kos tambahan iaitu bagi mendapatkan bahan sanitasi dan pakaian peralatan perlindungan diri (PPE).
“Pihak kami sedang berbincang dengan beberapa agensi kerajaan bagi membekalkan PPE dan bahan sanisati bagi tujuan mengurangkan kos tersebut,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929