INNSBRUCK, Austria – Liverpool memulakan aksi pramusim dengan mencatat dua keputusan masing-masing seri 1-1 menentang Wacker Innsbruck dan Stuttgart di Stadium Tivoli awal pagi semalam.
Divock Origi dan Sadio Mane masing-masing mencetak nama selaku penjaring dalam dua perlawanan itu sementara pemain baharu, Ibrahima Konate melakukan debut bersama The Reds.
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui beliau berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan barisan pemainnya biarpun sekadar mencatat keputusan seri dalam dua aksi persahabatan itu.
“Kami anggap ia sebagai aksi pemanas badan dan ia berjalan dengan baik. Apa yang penting adalah saya mahu lihat kemampuan fizikal setiap pemain selepas lama berehat.
“Sudah tentu masih banyak yang perlu diperbaiki bagi memastikan kami benar-benar bersedia untuk mengharungi musim baharu. Semua pemain menunjukkan semangat yang tinggi, terutamanya ketika cuba mendapatkan kembali penguasaan bola,” katanya.
Tambah beliau, aksi pemain muda menentang Innsbruck menarik perhatiannya kerana mampu memberikan saingan kepada pasukan yang sudah memulakan aksi pramusim seminggu lebih awal.
“Saya menurunkan skuad muda pada perlawanan pertama menentang Innsbruck dan mereka berjaya menarik perhatian saya. Sementara itu, aksi kedua dengan Stuttgart sangat sukar kerana mereka adalah pasukan yang bagus,” ujar Klopp. – AGENSI