RAWANG – Kementerian Kesihatan (KKM) diminta menyenaraikan jumlah anak-anak yang kehilangan ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali akibat Covid-19 bagi membolehkan kerajaan menyalurkan bantuan kepada mereka.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, senarai itu penting bagi membolehkan mereka tidak terpinggir daripada menerima sebarang bentuk bantuan oleh kerajaan melalui agensi-agensi yang ada.
“Saya sudah berbincang berkenaan perkara ini dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba supaya mendapatkan maklumat terperinci tentang anak-anak yang hilang tempat bergantung di seluruh negeri.
“Setakat ini kita belum ada senarainya dan kita akan berusaha untuk dapatkan secepat mungkin. Kita sedaya upaya akan cuba bantu anak-anak yang kehilangan tempat bergantung terutamanya dari segi pendidikan untuk masa depan mereka,” ujarnya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, beliau menyantuni lapan beradik yang kematian ibu bapa akibat Covid-19 yang tular di media sosial di kediaman mereka di Seksyen BB7, Bukit Beruntung, dekat sini hari ini.
Bapa mereka, Benyajeed Bernie, 45, meninggal dunia pada 16 Julai manakala ibu mereka, Noraini Ibrahim, 43, pula pada 18 Julai lalu.
Mengulas berkenaan bantuan kepada lapan beradik itu, menurut beliau, bantuan makanan dan kewangan anak-anak itu akan ditanggung secara bulanan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) termasuk bayaran sewa rumah RM650 sebulan.
“Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akan menyalurkan bantuan kewangan RM950
secara bulanan termasuk bakul makanan dan tabung kecemasan secara one off berjumlah RM950.
“Mereka juga akan menerima bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 Nadma, yang diberikan secara one off RM5,000 (kepada waris si mati),” ujarnya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, Boustead Holdings Berhad (Bousted) selaku anak syarikat Kementerian Pertahanan (Mindef) bersetuju untuk mengambil kesemua anak tersebut sebagai anak angkat dan akan menanggung kos pendidikan mereka sehingga usia 18 tahun. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929