PORT DICKSON – Kejadian tiga petugas Klinik Kesihatan Bukit Pelandok, di sini yang pengsan di dalam ambulans sebaik tiba di Hospital Port Dickson dipercayai berpunca dari keracunan karbon monoksida di dalam kabin ambulans berkenaan.
Pakar Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Negeri Sembilan, Timbalan Penguasa Bomba, Mohammad Idris berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan secara statik dan juga dalam perjalanan bagi mengenal pasti punca sebenar petugas kesihatan pengsan.
Menurutnya, ujian pengesanan gas dalam tempoh 10 minit perjalanan mendapati bacaan kandungan gas karbon monoksida yang tinggi dicatatkan dalam kabin berkenaan sehingga mencecah 87 ppm.
“Ini dalam tempoh 10 minit perjalanan sahaja dan kadar bacaan berkenaan berkemungkinan bertambah mengikut tempoh masa perjalanan dari Klinik Kesihatan Bukit Pelandok ke Hospital Port Dickson.
“Malah, pihak hospital juga mengesahkan telah menjumpai gas yang sama dalam paru paru mangsa yang pengsan yang kini kesemuanya telah dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Port Dickson, di sini, hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online hari ini melaporkan tiga petugas Klinik Kesihatan Bukit Pelandok, Chuah dekat sini pengsan sebaik tiba di Hospital Port Dickson dipercayai disebabkan kebocoran gas di dalam ambulans ketika membawa rakan setugas mereka yang pengsan di Klinik Kesihatan berkenaan pagi tadi.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929