Varian Delta yang dilaporkan semakin menular di negara ini amat menakutkan. Umumnya mengetahui bahawa varian tersebut boleh merebak sangat pantas.
Sekiranya 100 orang dijangkiti, ia boleh menjangkiti 800 orang lagi dalam masa yang singkat. Sudah tentu epilog penularan Covid-19 semakin menggusarkan kita sekarang.
Kementerian Kesihatan juga menjangkakan, kes harian Covid-19 akan terus bertambah dalam tempoh seminggu hingga dua minggu lagi akibat varian itu sebelum kembali stabil.
Jangkitan varian Delta yang disifatkan dominan itu boleh berlaku dalam masa singkat menerusi bawaan udara.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, varian yang dikesan pada akhir Disember tahun lalu itu bukan suatu perkara yang boleh dipandang enteng.
“Apa yang membimbangkan, varian itu telah merebak di beberapa negara termasuk Malaysia yang memberi risiko kesihatan yang sangat tinggi selepas dijangkiti.
“Tidak seperti varian-varian sebelum ini, varian Delta sangat-sangat berbahaya terutama bagi individu yang belum divaksin.
“Apabila seseorang individu dijangkiti varian ini, ia menyebabkan pesakit mengalami kesan yang teruk sehingga memerlukan bantuan oksigen, “ katanya ketika dihubungi.
Ujar beliau, meskipun begitu, masih ada cara untuk mengekang penularan virus itu dengan pengambilan vaksin secara beramai-ramai bagi membentuk imuniti berkelompok.
“Dengan cara ini, sekurang-kurangnya virus ini dapat dikawal. Kita tidak mahu varian Delta menjadi varian dominan dalam negara kita,” ujarnya.
Tambahnya, meskipun vaksin sudah diambil, seseorang individu itu masih wajib mematuhi amalan sebelum ini iaitu penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan mengelakkan diri berada di tempat yang sesak.
Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa dunia kini berada dalam tempoh sangat berbahaya sepanjang dilanda pandemik Covid-19 akibat penularan varian Delta.
WHO berkata, kemampuan varian Delta yang pertama kali ditemui di India itu yang lebih mudah merebak dan mengakibatkan kesan kesihatan lebih serius kini sudah dikesan sekurang-kurangnya di 98 buah negara.
Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat WHO di Geneva, Switzerland berkata, ancaman varian Delta semakin meningkat kerana ia bermutasi dari semasa ke semasa.
Oleh sebab itu, varian ini memerlukan penilaian berterusan dan penyesuaian tindak balas kesihatan awam yang teliti.
“Penyebaran varian Delta ini sangat membimbangkan terutama di negara-negara miskin dan membangun yang mempunyai kadar liputan vaksinasi rendah.
“Di negara-negara itu, adegan yang menyaksikan hospital-hospital dipenuhi pesakit Covid-19 adalah perkara biasa,” tegasnya.
Sementara itu menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di laman web Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Dr. Tedros turut berkata, WHO menggesa setiap negara melaksanakan semua langkah penting bagi memerangi peningkatan kes Covid-19 akibat varian Delta.
Beliau turut menyatakan varian Delta sangat bahaya dan terus menular serta bermutasi.
“Ia memerlukan pemerhatian khusus dan langkah lebih berwaspada terhadap respons kesihatan awam,” ujarnya.