LONDON – Chelsea menjadikan penyerang Stuttgart, Sasa Kalajdzic sebagai sasaran utama pada jendela perpindahan kali ini selepas usaha mendapatkan bintang Borussia Dortmund, Erling Haaland dilihat sukar.
Pemain yang memiliki ketinggian dua meter itu menjadi pilihan kedua The Blues berdasarkan rekodnya bersama Stuttgart apabila berjaya meledak 16 gol dalam 33 aksi Bundesliga.
Chelsea mungkin perlu menunggu sedikit masa memandangkan Stuttgart juga dikatakan tidak bersedia untuk melepaskan pemain antarabangsa Austria itu.
Pasukan yang berpangkalan di Stamford Bridge itu terdesak untuk memperkasakan jentera serangan memandangkan penyerang sedia ada gagal mencapai standard yang dimahukan.
Terdahulu, Chelsea ada menawarkan pertukaran yang melibatkan Tammy Abraham dan Callum Hudson-Odoi bagi mendapatkan Haaland, namun ditolak oleh Dortmund.
Selain Haaland dan Kalajdzic, juara Eropah itu dikaitkan dengan penyerang prolifik Bayern Munich, Robert Lewandowski menerusi perjanjian £50 juta (RM288.8 juta) serta penyerang Southampton, Danny Ings yang menolak kontrak lanjutan.
Chelsea juga sedia untuk melepaskan penyerang, Timo Werner walaupun baru semusim bersama pasukan itu.
Abraham juga dikatakan tidak ada dalam perancangan pengurus, Thomas Tuchel bagi saingan musim depan dan mungkin akan menyertai musuh setempat, West Ham United. – AGENSI