PETALING JAYA – Kecewa dan geram ditipu, pelakon Datuk Fizz Fairuz akhirnya mendedahkan identiti individu berpangkat ‘datuk seri’ yang menyebabkan dia mengalami kerugian RM18,000 akibat menjadi mangsa penipuan individu terbabit.
“Saya kotakan janji saya, inilah orangnya. Kalian nilailah sendiri. Apa pun, berjaga-jagalah dengan sesiapa sekali pun.
“Apa terjadi perlu berhati-hati. Ambil kesempatan atas orang lain memang sesuatu yang musibat. Terima kasih kepada yang mendoakan,” luahnya menerusi satu hantaran status terbaharu.
Semalam, Fizz membuat laporan berhubung perkara berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
Fizz atau nama sebenarnya, Fairuz Zainal Abidin berkata, penipuan wang sebanyak RM18,000 sebelum ini sebagai bayaran bon bagi sebuah tender projek bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Individu berusia 26 tahun itu tawarkan saya projek tender DBKL. Dia bagi senarai apa kena buat dan saya kena bayar satu peratus bon. Saya memang tak terfikir dia seorang ‘scammer’ sebab dia minta profil syarikat.
“Dia minta buat pembayaran ke akaun peribadi. Pada awalnya, saya persoalkan juga perkara itu, tapi dia kata nak tolong uruskan semuanya. Pujuknya, pertengahan bulan ini dah boleh mulakan kerja,” ujarnya.
Kata Fizz, 42, entah bagaimana, dia mudah mempercayai individu terbabit namun ditipu mentah-mentah selepas beberapa hari mula curiga dengan tindak-tanduknya.
“Saya pun buat bayaran pada 6 Jun. Empat hari selepas itu, kami masih berhubung macam biasa. Selepas itu dia sudah tidak jawab panggilan dan mesej WhatsApp.
“Dia pernah balas mesej itu pun selepas 50 kali saya mesej. Macam-macam alasan diberikan termasuklah mengatakan dirinya dijangkiti virus Covid-19,” ujarnya.
Menurut suami kepada pelakon Almy Nadia itu, dia mula menyedari dirinya menjadi mangsa scam apabila ndividu itu menghilangkan diri dan selepas mendapatkan nasihat daripada beberapa kenalan.
“Saya ada menghubungi beberapa kenalan yang pernah berurusan dengan dia. Mereka nasihatkan saya supaya tidak bekerjasama dan dekatkan diri dengan dia.
“Saya pula apabila sudah masukkan wang baru menghubungi mereka. Jadi, ini kesilapan saya sendiri. Saya percaya pun sebab dia gunakan nama DBKL,” katanya.
Dalam makluman terdahulu, Fizz turut memaklumkan individu berkenaan sudah pun ditahan pihak berkuasa. – K! ONLINE