LIPIS – Tindakan seorang wanita yang bertindak memanjat pokok kundang dan enggan turun sehingga ke malam menggemparkan penduduk di sekitar Kampung Keledek di sini, malam semalam.
Wanita berusia 30-an yang dipercayai mempunyai masalah mental itu juga dikatakan beberapa kali mengugut untuk terjun sebelum penduduk kampung bertindak menghubungi pihak bomba.
Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Shahrul Nizam Nasir berkata, bomba yang menerima panggilan pada pukul 11.16 malam bergegas ke tempat kejadian.
“Pihak bomba mengambil masa kira-kira dua jam untuk memujuk wanita berkenaan dengan pelbagai cara.
“Namun akhirnya wanita itu turun dengan selamat selepas dipujuk dan diajak minum bersama anggota bomba,”katanya di sini, hari ini.
Menurut Shahrul Nizam, berdasarkan maklumat diterima wanita berkenaan mula memanjat pokok kira-kira pukul 6 petang.
Ujarnya, wanita berkenaan dipercayai pernah beberapa kali bertindak memanjat pokok dan enggan turun pada tahun lalu.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929