RIYADH – Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan arahan melarang warganegaranya melakukan perjalanan ke Indonesia susulan lonjakan kes Covid-19 di republik berkenaan, lapor akhbar Arab News, kelmarin.
Sekatan itu diumumkan Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi dalam satu kenyataan ringkas.
Menurut sumber pegawai kementerian dalam negeri, langkah tersebut diambil bagi memastikan rakyatnya terlindung daripada jangkitan varian Delta yang sedang melanda dunia.
“Sekatan perjalanan ini akan berkuatkuasa sehingga keadaan semasa menjadi lebih stabil,” tambah pegawai itu.
Warganegara Arab Saudi yang kini berada di Indonesia telah diberitahu supaya lebih berhati-hati, menjauhkan diri dari daerah yang memiliki kadar jangkitan tinggi, mematuhi semua protokol kesihatan dan pulang ke negara asal secepat mungkin.
Sementara itu, jemaah yang terpilih untuk menunaikan haji tahun ini sedang melaksanakan bahagian terakhir ibadah mereka di bawah langkah-langkah kesihatan yang ketat tanpa jangkitan Covid-19 yang dilaporkan.
Lebih daripada 23.3 juta dos vaksin telah diberikan di seluruh Arab Saudi dengan lebih 1.4 juta warga emas sudah menerima pelalian lengkap. – Agensi