PETALING JAYA – Semua syarikat produksi sama ada drama, iklan dan dokumentari yang layak menjalani penggambaran luar studio di negeri berstatus Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) diingatkan supaya mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, syarikat produksi mestilah melaksanakan penggambaran luar yang terasing, terhad dan terkawal mengikut Protokol Gelembung Penggambaran (PREP) di negeri Fasa Dua PPN.
Antara garis panduan PREP yang dikeluarkan adalah lokasi atau premis penggambaran, operasi penggambaran dan tenaga produksi.
Dalam garis panduan lokasi atau premis penggambaran menyebut, aktiviti penggambaran hanya boleh dilakukan di kawasan khas penggambaran yang dibenarkan sahaja, terasing, terhad dan terkawal dengan kelulusan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, garis panduan yang dikeluarkan menyatakan bahawa lokasi penggambaran di zon larangan seperti perumahan, penempatan dan perindustrian adalah tidak dibenarkan.
Ahmad Idham menambah, maklumat lanjut berkaitan garis panduan termasuk borang permohonan Surat Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) boleh didapati dalam laman sesawang Finas mulai semalam (Rabu).
“Untuk tatacara permohonan dan soalan-soalan lazim berkaitan aktiviti penggambaran filem dengan syarat yang diperketatkan pada Fasa Dua PPN ini, boleh layari www.finas.my atau hubungi talian 03-4104 1300/1458/1360 (Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan) dan e-mel ke [email protected],” katanya dalam kenyataan semalam.
Ahmad Idham berkata, kelonggaran itu diberikan dalam usaha bersepadu kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Finas untuk memperkasakan aspek pengurusan, keselamatan, kesihatan dan pencegahan dalam aktiviti penggambaran bagi mengawal risiko jangkitan COVID-19.
Katanya, Finas turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah yang mendukung pelbagai strategi dan inisiatif termasuklah polisi baharu aktiviti penggambaran secara lebih sistematik, terkawal dan diperketatkan dalam tempoh pelaksanaan PPN.
Pada 19 Julai lalu, kerajaan meluluskan kebenaran aktiviti penggambaran di luar studio dengan pematuhan SOP ketat pada Fasa Dua PPN. – K! ONLINE