HULU TERENGGANU – Seramai 300 penggiat pelancongan Tasik Kenyir dekat sini termasuk pengusaha dan pekerja rumah bot menerima dos pertama vaksin Covid-19 hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, pemberian vaksin Covid-19 tersebut bagi memastikan lokasi pelancongan terkenal berkenaan mencapai status imuniti kelompok secepat mungkin.
“Tasik Kenyir merupakan lokasi pelancongan kedua selepas Pulau Kapas, Marang terlibat dalam program outreach vaksinasi sektor pelancongan Terengganu yang bermula minggu lalu.
“Kita mahu semua pemain sektor pelancongan negeri ini telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 sebagai persediaan sebelum dibuka semula kepada pelancong kelak,” katanya ketika memantau program Outreach Vaksinasi Tasik Kenyir dekat sini hari ini.
Ariffin berkata, program vaksinasi Covid-19 dalam kalangan penggiat sektor pelancongan tempatan penting bagi menambah keyakinan pelancong untuk kembali mengunjungi Terengganu sebaik dibenarkan kelak.
Tambah beliau, persiapan rapi penting bagi merancakkan semula sektor pelancongan tempatan yang terjejas teruk ekoran pandemik Covid-19.
“Selain penggiat sektor pelancongan, seramai 200 penduduk kampung sekitar Tasik Kenyir turut menerima suntikan vaksin Covid-19 pada program sama hari ini,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929