KLANG – Seorang wanita yang meninggal dunia selepas terbaring tidak sedarkan diri di depan sebuah klinik di Taman Sentosa di sini, hari ini disahkan positif Covid-19.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu selepas tular menerusi klip video dan beberapa foto di media sosial pagi tadi.
“Kejadian dipercayai berlaku ketika wanita berbangsa Cina itu bersama adiknya ingin mendapatkan rawatan di klinik berkenaan, kira-kira pukul 9.45 pagi .
“Sewaktu berada di depan klinik itu, wanita berkenaan tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.
Menurut beliau, pihak ambulans yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan wanita berkenaan sudah meninggal dunia.
Ujar Shamsul Amar, mayat wanita itu kemudian dihantar ke Hospital Shah Alam untuk tindakan lanjut.
“Hasil keputusan ujian saringan awal Rapid Test Kit (RTK) mendapati wanita tersebut positif Covid-19.
“Wanita itu turut mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan darah tinggi,” katanya.
Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut Covid-19. -K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929