fbpx

‘Saya ibarat diberi nyawa kedua’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keratan Kosmo! 7 Julai 2021

GUA MUSANG – Seorang lelaki Orang Asli berasa seolah-olah diberikan nyawa kedua apabila terselamat selepas bergelut selama 15 minit dengan seekor harimau betina di kebunnya di Kampung Badak, Pos Bihai di sini pada awal bulan ini.

Adin Andok, 48, berkata, peristiwa pada pukul 3 petang, 5 Julai itu masih segar dalam ingatannya walaupun dia sudah dalam keadaan nyawa-nyawa ikan semasa diselamatkan penduduk kampung.

Cerita lelaki itu, dia menggunakan parang miliknya yang diletakkan di pinggang untuk menetak harimau tersebut dalam usaha menyelamatkan diri selepas mata, kepala, paha dan lengannya dicakar.

“Saya bersyukur kerana sentiasa membawa parang setiap kali pergi ke kebun, jadi saya terpaksa gunakan senjata tajam itu untuk menetak kepala, badan dan ekor harimau.

“Nasib baik ada senjata, parang itu yang menyelamatkan saya. Jika tidak, sudah tentu saya mati dibaham harimau kerana tidak dapat mempertahankan diri,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Adin dibenarkan keluar hospital dan kini tinggal di rumah rakannya di Kuala Betis, Gua Musang untuk berubat secara tradisional.

Susulan kejadian itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menangkap haiwan belang tersebut yang digelar Syamilla Bihai di kampung sama pada Khamis lalu.

Berita berkaitan: Masih trauma diserang pak belang

Berita berkaitan: Harimau serang Orang Asli masuk perangkap

Bercerita lanjut, Adin memberitahu, dia cuba bergelut walaupun terpaksa menahan kesakitan sehinggalah haiwan tersebut beredar dari lokasi berkenaan.

“Saya ibarat diberi nyawa kedua selepas terselamat daripada menjadi ajal haiwan ganas ini,” katanya.

Jelasnya, semangat yang sebelum ini hilang juga sudah beransur pulih selepas menjalani rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai.

Adin sudah dibenarkan keluar HSIP pada Selasa minggu lalu dan kini berada di rumah rakannya di Kampung Bawek, Kuala Betis untuk berubat secara tradisional bagi memulihkan semangatnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI